+607 531 8000 (JB) | +603 2728 6500 (KL) | space@utm.my

+607 531 8000 (JB) | +603 2728 6500 (KL) | space@utm.my

2,260 PELAJAR BAHARU DIPLOMA DAN ASASI AMBILAN JULAI 2025/2026 MENDAFTAR DI SPACE UTM

JOHOR BAHRU, 10 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui SPACE UTM menerima 2,260 pelajar baharu Ambilan Julai 2025/2026 dalam sesi pendaftaran secara serentak di dua kampus utama, iaitu Johor Bahru dan juga Kuala Lumpur. Kelompok pelajar ini terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa yang bakal mengikuti pengajian dalam program Diploma dan Asasi di bawah kelolaan SPACE UTM.

Bagi Kampus Johor Bahru, seramai 578 pelajar mendaftar dalam program Diploma, manakala 855 pelajar mengikuti program Asasi, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 1,433 pelajar. Daripada jumlah tersebut, seramai 50 pelajar merupakan penerima tajaan PETRONAS bagi Program Asasi. Sementara itu, di Kampus Kuala Lumpur, pendaftaran melibatkan 461 pelajar bagi program Diploma dan 366 pelajar bagi program Asasi, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 827 pelajar.

Di Johor Bahru, dianggarkan seramai 1,147 pelajar baharu ditempatkan di Kolej 9, Kolej 10 dan Kolej Tun Ghafar Baba. Manakala di Kampus Kuala Lumpur, kira-kira 700 pelajar baharu ditempatkan di Kolej Siswa Jaya (KSJ).

Proses pendaftaran di Johor Bahru telah diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UTM, YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBrs. Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah binti Mat Darus; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBrs. Prof. Ts. Dr. Ali bin Selamat; Timbalan Naib Canselor (Pembangunan); Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Bin Mohamad serta Dekan SPACE UTM, YBrs. Prof. Dr. Mohd Shahrizal bin Sunar. Kehadiran kepimpinan tertinggi universiti ini membuktikan komitmen UTM dan SPACE UTM dalam menyambut pelajar baharu serta memastikan kelancaran proses pendaftaran.

Di Kampus Kuala Lumpur, sesi pendaftaran turut dihadiri oleh Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin, Menjalankan Fungsi Ketua Kampus UTM Kuala Lumpur; serta Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTM Kuala Lumpur, Prof. Ir. Ts. Dr. Aminudin bin Haji Abu, dan barisan pengurusan SPACE UTM.

Keseluruhan proses pendaftaran, termasuk urusan penempatan asrama, pengesahan dokumen, taklimat keselamatan dan sesi orientasi, telah dikendalikan secara teratur dan mesra pelanggan oleh pasukan pengurusan UTM dan SPACE UTM dengan bantuan sukarelawan mahasiswa. Kehadiran fasilitator dan pelajar senior turut memainkan peranan penting dalam membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus serta budaya akademik UTM.

UTM dan SPACE UTM mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar baharu. Di sinilah bermulanya perjalanan ilmu dan kepimpinan  untuk melangkah bersama ke arah masa depan yang cemerlang bersama SPACE UTM.