
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat-Nya, kita diberi peluang untuk melangkah ke satu lembaran baharu, tahun 2026.
Tahun baharu bukan sekadar pertukaran kalendar, tetapi satu peringatan bahawa masa terus berjalan dan bersama dengannya, amanah kita juga semakin besar.
Kita kini berada dalam era perubahan yang sangat pantas, era teknologi digital, kecerdasan buatan dan automasi yang mengubah cara kita bekerja, belajar dan membuat
keputusan.
Teknologi bukan lagi pilihan, tetapi keperluan.
Namun teknologi tanpa nilai, dan kepintaran tanpa hikmah, boleh menghilangkan arah.
Di SPACE UTM, pembelajaran bukan tentang siapa yang paling pantas sampai, tetapi siapa yang sanggup terus belajar, menyesuaikan diri dan memperbaiki diri, walau
penat, walau sibuk, walau terpaksa bermula semula.
Pembelajaran masa hadapan alaf baharu menuntut pendekatan yang berbeza. Ia bukan lagi terikat kepada bilik kuliah semata-mata, tetapi bersifat fleksibel, modular,
berasaskan kompetensi dan pembelajaran sepanjang hayat. Ia menggabungkan pembelajaran digital, hibrid, micro-credentials, pengalaman industri dan
pengiktirafan pembelajaran terdahulu.
Di ambang tahun 2026 ini, marilah kita merenung sejenak untuk mensyukuri segala pencapaian yang telah kita lalui. Namun pada masa yang sama, kita perlu jujur
mengakui bahawa cabaran mendatang menuntut kita menjadi lebih adaptif, lebih cekal dan lebih bersedia menghadapi perubahan teknologi yang tidak menentu.
Di SPACE UTM, kami percaya setiap individu mampu mencorak perubahan apabila diberi akses kepada ilmu yang betul, kemahiran digital yang relevan, dan bimbingan yang
berterusan.
Komitmen kami jelas, iaitu melahirkan insan yang bukan sekadar cekap dalam teknologi, tetapi matang dalam pemikiran, beretika dalam keputusan dan bijaksana menggunakan teknologi untuk kebaikan manusia.
Tahun 2026 menuntut kita untuk bertanya dengan jujur kepada diri sendiri sama ada kemahiran yang kita miliki hari ini masih relevan untuk masa hadapan, dan sama ada
kita benar-benar bersedia untuk terus belajar dalam dunia yang sentiasa berubah.
- Jangan takut untuk belajar semula.
- Jangan takut untuk meningkatkan kemahiran digital dan literasi teknologi AI.
- Jangan takut untuk keluar daripada zon selesa kerana perubahan itu adalah tanda
kita masih mahu maju.
Marilah kita melangkah ke tahun ini dengan niat yang betul, usaha yang jujur dan keberanian untuk berubah. Kerana ilmu mengubah kehidupan dan pendidikan yang
bererti bukan sekadar mengejar teknologi, tetapi memastikan teknologi terus berkhidmat untuk manusia.
Akhir kata, Selamat Tahun Baharu 2026 daripada saya dan seluruh warga Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE) UTM.
Teruskan langkah anda. Kami di SPACE UTM akan terus berjalan bersama anda.
Sekian, terima kasih.
Kerana Tuhan Untuk Manusia
Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar
Dekan
Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE)
UTM
