5–6 Mac 2026
Satu Bengkel Pembangunan Micro-Credentials telah dianjurkan dengan kerjasama UTM Centre for Digital Education (UTM CDex) pada 5 hingga 6 Mac 2026 sebagai usaha memperkukuh pembangunan program pembelajaran fleksibel serta menyokong aspirasi ASCEND 2030 UTM dalam memperkasa pendidikan digital.
Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan dan panduan kepada peserta mengenai konsep, pembangunan serta pelaksanaan program micro-credentials yang kini semakin menjadi pendekatan penting dalam landskap pendidikan tinggi global. Inisiatif ini juga selari dengan usaha universiti untuk memperluas akses pembelajaran sepanjang hayat yang lebih fleksibel, responsif kepada keperluan industri serta relevan dengan perkembangan teknologi semasa.
Sesi perkongsian dan pembentangan telah disampaikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Azizul Azri Mustaffa dan En. Mohd Harith Fadzillah Rasid dari UTM CDex, yang berkongsi kepakaran serta pengalaman berkaitan pembangunan modul micro-credentials, strategi pelaksanaan serta amalan terbaik dalam ekosistem pendidikan digital.
Turut hadir dalam bengkel ini ialah YBrs. Prof. Dr. Mohd Shahrizal bin Sunar, Dekan SPACE, bersama barisan pengurusan tertinggi yang menzahirkan komitmen berterusan dalam memacu transformasi pendidikan serta memperkukuh ekosistem pembelajaran digital di universiti.
Penganjuran bengkel ini diharap dapat menjadi platform strategik dalam memperkasa pembangunan program micro-credentials yang berkualiti, seterusnya menyumbang kepada usaha universiti dalam melahirkan graduan dan tenaga kerja yang lebih kompeten serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.















