JOHOR BAHRU, 12 Julai 2025 – Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE), UTM telah menerima kehadiran seramai 35 pelajar baharu bagi Program Diploma Separuh Masa bagi Semester 1, Sesi Akademik 2025/2026. Sebagai langkah awal pengenalan kepada sistem pengajian di SPACE UTM, satu Majlis Alu-aluan Pelajar Baharu telah diadakan secara dalam talian.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan SPACE , Ybrs Prof. Dr. Mohd Sharizal bin Sunar, yang menyampaikan mesej semangat dan motivasi kepada para pelajar untuk memulakan perjalanan akademik mereka dengan yakin, berdedikasi dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran dunia pendidikan tinggi.
Sesi diteruskan dengan taklimat akademik yang disampaikan oleh Ybrs Prof. Madya Dr. Kamaludin bin Mohamad Yusof, Pengurus Besar Pusat Pengajian Separuh Masa. Beliau telah memperincikan struktur program pengajian, kaedah penyampaian pembelajaran secara fleksibel, bentuk sokongan akademik yang disediakan serta hala tuju pembangunan pelajar sepanjang tempoh pengajian.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian taklimat oleh wakil-wakil dari bahagian dan pusat berkaitan yang memberi penerangan lanjut berkaitan perkhidmatan pelajar, sokongan pembelajaran dan kemudahan yang ditawarkan. SPACE UTM dengan penuh rasa bangga mengucapkan “Selamat Datang” kepada seluruh pelajar baharu Program Diploma Separuh Masa. Diharapkan mereka dapat memanfaatkan peluang ini sebaiknya dan mencapai kecemerlangan dalam suasana pembelajaran yang fleksibel dan menyokong.
