+607 531 8000 (JB) | +603 2728 6500 (KL) | space@utm.my

+607 531 8000 (JB) | +603 2728 6500 (KL) | space@utm.my

MAJLIS ALUAN PELAJAR PROGRAM ASASI DAN DIPLOMA SEPENUH MASA.

JOHOR BAHRU, 8 Julai 2025 – Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE), UTM telah menganjurkan Majlis Alu-aluan Pelajar Baharu secara dalam talian sebagai tanda sambutan rasmi kepada pelajar yang memulakan pengajian dalam Program Asasi dan Diploma Sepenuh Masa bagi Semester 1, Sesi Akademik 2025/2026.

Majlis berkenaan telah menghimpunkan seramai 2,001 pelajar tempatan dan 65 pelajar antarabangsa yang mewakili pelbagai latar belakang, sejajar dengan aspirasi SPACE UTM untuk mewujudkan komuniti pelajar yang pelbagai, inklusif dan global.

Majlis telah dirasmikan oleh Ybrs Prof. Dr. Mohd Sharizal bin Sunar, Dekan SPACE yang dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran para pelajar baharu dengan penuh semangat. Beliau turut menyampaikan mesej motivasi agar para pelajar melangkah ke alam pendidikan tinggi dengan keyakinan, iltizam serta komitmen terhadap pencapaian cemerlang dalam bidang akademik dan sahsiah.

Turut diadakan ialah sesi taklimat komprehensif yang disampaikan oleh wakil-wakil pusat tanggungjawab dan jabatan berkaitan. Taklimat tersebut merangkumi informasi penting seperti struktur pengajian, kemudahan kampus, sistem sokongan pelajar serta aspek kebajikan dan keselamatan. Inisiatif ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran universiti yang serba dinamik.

Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen SPACE UTM dalam menyantuni pelajar baharu serta memastikan mereka mendapat bimbingan awal yang sewajarnya bagi memulakan perjalanan akademik dengan langkah yang yakin dan terarah.

SPACE UTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan yang diberikan dan mengucapkan “Selamat Datang” kepada seluruh pelajar baharu. Diharapkan mereka akan menjadi generasi pelajar yang berdaya saing, progresif dan mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan diri, masyarakat dan negara.