Johor Bahru, 15 Januari 2026 – Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Majlis Alu-aluan Pelajar Baharu secara dalam talian sebagai sambutan rasmi kepada pelajar yang memulakan pengajian dalam Program Asasi Sepenuh Masa Semester 2, Sesi Akademik 2025/2026.
Majlis tersebut telah menghimpunkan seramai 78 orang pelajar, terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa. Program ini bertujuan memberi pendedahan awal serta memastikan kelancaran transisi pelajar ke alam pendidikan tinggi.
Majlis telah dirasmikan oleh YBrs. Prof. Dr. Mohd Shahrizal bin Sunar, Dekan SPACE UTM. Dalam ucapannya, beliau mengalu-alukan kehadiran para pelajar baharu dengan penuh semangat dan menzahirkan keyakinan terhadap potensi mereka sebagai bakal pemimpin masa hadapan. Beliau turut menyampaikan pesanan motivasi agar para pelajar melangkah ke dunia universiti dengan keyakinan, iltizam yang tinggi serta komitmen berterusan terhadap kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah.
Turut diadakan ialah sesi taklimat komprehensif yang disampaikan oleh wakil-wakil pusat tanggungjawab dan jabatan berkaitan. Taklimat tersebut merangkumi maklumat penting termasuk struktur program pengajian, kemudahan kampus, sistem sokongan pelajar, serta aspek kebajikan dan keselamatan. Inisiatif ini bertujuan membantu pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran universiti yang dinamik dan berdaya saing.
SPACE UTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh para pelajar dan ibu bapa serta mengucapkan “Selamat Datang” kepada seluruh pelajar baharu. Diharapkan mereka akan berkembang sebagai generasi mahasiswa yang progresif, berintegriti dan mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan diri, masyarakat dan negara.

