13 Oktober 2025 | Johor Bahru, Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE), UTM telah mengadakan Majlis Aluan Pelajar Baharu secara dalam talian bagi menyambut kehadiran 57 pelajar baharu yang mendaftar ke Program Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa bagi Semester 1, Sesi 2025/2026.
Majlis tersebut bertujuan memperkenalkan pelajar kepada struktur program, sokongan akademik serta kemudahan pembelajaran yang disediakan oleh SPACE UTM. Ia turut menjadi platform bagi memperkukuh hubungan awal antara pelajar dan pihak pengurusan fakulti.
Ucapan pembukaan oleh Ybrs. Prof. Dr. Mohd Sharizal bin Sunar, Dekan SPACE, yang menyampaikan amanat penuh inspirasi serta pesanan agar para pelajar mengamalkan budaya ilmu, berfikiran kritikal dan berani mencipta perubahan dalam bidang masing-masing.
Turut diadakan ialah sesi taklimat komprehensif oleh wakil pusat dan jabatan berkaitan, yang memberikan penerangan menyeluruh mengenai struktur akademik, sistem sokongan pelajar serta kehidupan kampus UTM.
Dengan penuh semangat, warga SPACE UTM mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar baharu serta mendoakan kejayaan cemerlang mereka sepanjang pengajian di Universiti Teknologi Malaysia.


