+607 531 8000 (JB) | +603 2728 6500 (KL) | space@utm.my

+607 531 8000 (JB) | +603 2728 6500 (KL) | space@utm.my

MAJLIS PENYAMPAIAN DERMASISWA TABUNG ENDOWMEN UTMSPACE SESI 1 2026

10 Mac 2026 — UTMSPACE telah menganjurkan Majlis Penyampaian Dermasiswa Tabung Endowmen UTMSPACE Sesi I 2026 yang berlangsung secara dalam talian bagi meraikan serta menyampaikan bantuan kewangan kepada para pelajar yang layak.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBrs. Prof. Dr. Mohd Shahrizal bin Sunar, yang menjalankan tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif UTMSPACE, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan UTMSPACE dalam memperluaskan akses kepada pendidikan serta membantu pelajar yang memerlukan sokongan kewangan untuk meneruskan pengajian mereka.
Pada sesi kali ini, seramai 63 orang pelajar daripada program Asasi dan Diploma UTM telah dipilih sebagai penerima Dermasiswa Tabung Endowmen UTMSPACE. Pemberian dermasiswa ini merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap kesungguhan dan komitmen para pelajar dalam mencapai kecemerlangan akademik walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran kewangan. Penyampaian dermasiswa telah dilaksanakan secara simbolik melalui platform dalam talian yang turut menghimpunkan pihak pengurusan UTMSPACE serta para penerima.
Tabung Endowmen ini diwujudkan melalui sumbangan pelbagai pihak termasuk alumni, individu dan organisasi yang prihatin terhadap pembangunan pendidikan. Dana yang dikumpulkan bertujuan membantu meringankan beban kewangan pelajar serta memberi motivasi kepada mereka untuk terus mencapai kecemerlangan akademik.
Para penerima dermasiswa turut merakamkan penghargaan kepada pihak UTMSPACE dan para penyumbang atas keprihatinan serta sokongan yang diberikan dalam membantu mereka meneruskan pengajian.Program ini diharapkan dapat menggalakkan lebih banyak pihak untuk menyumbang kepada Tabung Endowmen UTMSPACE pada masa akan datang, sekali gus membantu lebih ramai pelajar mencapai impian mereka dalam bidang pendidikan.
Tahniah diucapkan kepada semua penerima Dermasiswa Tabung Endowmen UTMSPACE Sesi I 2026, dan semoga kejayaan terus mengiringi langkah mereka pada masa akan datang.

UTM Open Day