17 Jun 2025 – UTMSPACE terus komited dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan para pelajar melalui pelbagai inisiatif. Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah melalui pemberian Dermasiswa Tabung Endowmen UTMSPACE.
Program yang telah dilaksanakan sejak tahun 2021 ini telah memberi manfaat kepada seramai 347 orang pelajar. Pada hari ini, seramai 32 orang pelajar cemerlang telah terpilih untuk menerima Dermasiswa Tabung Endowmen UTMSPACE bagi Sesi II Tahun 2025.
Para penerima telah diumumkan dalam Majlis Penyampaian Dermasiswa Tabung Endowmen Sesi II Tahun 2025 yang telah diadakan secara dalam talian. Majlis ini telah dihadiri oleh Prof. Dr. Nazri bin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan UTMSPACE, yang turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada para penerima.
Dalam ucapannya, Prof. Dr. Nazri bin Ali berpesan agar para penerima memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan dan menjadikan ia sebagai penyuntik semangat untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
“Ingatlah, pendidikan adalah aset paling bernilai. Usaha gigih hari ini akan menjadi penentu kejayaan pada masa hadapan,” jelas beliau.
UTMSPACE merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima Dermasiswa Tabung Endowmen UTMSPACE Sesi II 2025 dan mendoakan kejayaan mereka yang berterusan.
