24 September 2025 – UTMSPACE telah menganjurkan Majlis Penyampaian Dermasiswa Tabung Endowmen UTMSPACE Sesi III 2025 secara dalam talian. Majlis ini menyaksikan seramai 37 orang pelajar cemerlang yang berkelayakan menerima bantuan dermasiswa. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan UTMSPACE untuk membantu pelajar yang memerlukan, khususnya bagi meringankan beban kewangan agar mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pengajian.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan UTMSPACE, Prof. Dr. Nazri bin Ali. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pemberian dermasiswa ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga dorongan kepada para pelajar untuk terus berusaha gigih mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan pembentukan sahsiah diri. Bantuan ini juga menjadi lambang keprihatinan pihak institusi serta masyarakat terhadap kesejahteraan pelajar.
Pihak UTMSPACE berharap pemberian dermasiswa ini dapat menjadi pemangkin semangat kepada para penerima untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang dan seterusnya memberi sumbangan kepada masyarakat pada masa hadapan.Tahniah diucapkan kepada semua penerima Dermasiswa Tabung Endowmen UTMSPACE Sesi III 2025 dan semoga kejayaan berterusan buat mereka.