16 Mei 2025 – Sebuah perjumpaan telah berlangsung antara Dr. Mohd Amri Bin Md Yunus Pengetua Kolej Kediaman Dato’ Onn Jaafar (KDOJ) dan Ts Puan Nik Maria binti Nik Mahamood, Timbalan Dekan Pembangunan (TDP) SPACE UTM betermpat di Bilik Mesyuarat Eksekutif 2, T05 UTMSPACE. Sesi ini menjadi wadah untuk membincangkan peranan Jawatankuasa Kolej (JKP) dalam memperkasa pengalaman pelajar SPACE UTM di Kolej KLG serta memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua entiti.
Turut hadir dalam sesi ini ialah Encik Adhar bin Zorobi Presiden JKP Kolej KDOJ, yang berkongsi pelbagai program menarik yang ditawarkan di KDOJ. Dalam usaha membina komuniti yang lebih inklusif dan dinamik, JKP KDOJ turut membuka peluang kepada pelajar SPACE UTM untuk menyertai jawatankuasa tersebut. Langkah ini dilihat bukan sahaja memperluaskan jaringan kepimpinan pelajar, malah memberi peluang kepada mereka untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti kolej.
Pengetua KDOJ turut menekankan keistimewaan yang bakal dinikmati oleh ahli JKP, termasuk kuota penginapan khas serta pengurangan yuran penginapan, insentif yang tentunya menjadi daya tarikan kepada pelajar untuk terlibat sama.
Cadangan ini mendapat sambutan positif daripada Timbalan Dekan Pembangunan, SPACE UTM dan akan dibawa ke peringkat pengurusan UTMSPACE untuk pertimbangan serta tindakan selanjutnya. Diharapkan usaha ini akan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk menikmati kemudahan yang tersedia, di samping memperkukuh hubungan erat antara KDOJ dan SPACE UTM demi kesejahteraan komuniti kampus secara keseluruhan.