+607 531 8000 (JB) | +603 2728 6500 (KL) | space@utm.my

+607 531 8000 (JB) | +603 2728 6500 (KL) | space@utm.my

PROGRAM 3R & TRASH TO CASH @ UTM KUALA LUMPUR

Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan, SPACE UTM telah menjayakan program 3R & Trash to Cash yang bertempat di hadapan Blok H, UTM Kuala Lumpur. Program ini merupakan inisiatif Jawatankuasa Kelestarian SPACE UTM yang telah disertai oleh staf UTM dan UTMSPACE serta dijayakan oleh sukarelawan dari Sekretariat Rakan Muda UTMKL. Antara aktiviti yang dijalankan ialah kaunter trash to cash, pameran pengurusan sisa pepejal oleh SWCorp, jualan pokok hiasan serta kuiz kelestarian. Program ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pusat Kelestarian Kampus UTM, Prof. Madya Dr. Shamsul Sarip, Pengurus Kelestarian UTMSPACE KL, Ts. Dr. Salina binti Sadeli dan wakil dari SWCorp iaitu Encik Lukman Hakim bin Abdul Razak. Inisiatif ini bertujuan untuk menyokong matlamat pembangunan mampan dengan mengurangkan sisa, meminimumkan pembaziran sumber, dan menggalakkan penggunaan semula bahan (SDG 12), selain meningkatkan kualiti hidup melalui pengurusan sisa komuniti yang lebih cekap dan bersih (SDG 11) serta mengurangkan pelepasan gas rumah hijau melalui pengurangan sisa (SDG 13).

Sepanjang program, pelbagai kategori bahan berjaya dikumpulkan termasuk kertas, plastik, tin/besi, kaca, minyak masak terpakai serta sisa elektronik (e-waste). Kutipan kertas merangkumi majalah, kotak/kadbod, kertas hitam putih dan kertas campuran. Bagi kategori plastik, pelbagai jenis berjaya dikumpulkan seperti plastik campur dan botol PET, manakala sisa logam melibatkan tin serta besi. Kutipan kaca dan minyak masak terpakai turut mencatat penyertaan yang menggalakkan, khususnya daripada warga kampus yang semakin sedar akan kesan pencemaran minyak masak terhadap sistem perparitan dan sumber air jika tidak diuruskan dengan betul. Antara sisa elektronik yang berjaya dikumpulkan termasuk telefon bimbit, kabel campuran, tablet, komputer riba, pencetak, CD dan peranti elektronik lain. Pengurusan e-waste yang sistematik amat kritikal memandangkan kandungan bahan berbahaya di dalamnya yang boleh mencemarkan tanah dan air sekiranya dilupuskan secara tidak terkawal.

Selain itu, jualan anak pokok yang diadakan menyumbang kepada usaha penghijauan kampus dan kesedaran biodiversiti, manakala kuiz kelestarian yang dijayakan oleh sukrelawan Sekretariat Rakan Muda UTMKL sebagai medium pendidikan interaktif bukan sahaja menguji pengetahuan, malah menggalakkan perbincangan berkaitan isu alam sekitar, SDG dan tanggungjawab individu. Secara keseluruhannya, Program 3R & Trash to Cash ini membuktikan bahawa inisiatif berasaskan komuniti kampus mampu memberi impak nyata kepada alam sekitar, disamping membentuk minda dan gaya hidup lestari. Kejayaan program ini mengukuhkan komitmen SPACE UTM untuk terus menjayakan agenda kelestarian kampus selari dengan aspirasi UTM sebagai universiti terkemuka yang memacu pembangunan mampan.

Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini. Bersama kita menjayakan agenda kelestarian kampus! 💚

UTM Open Day