Kuala Lumpur, 31 Mei 2025 – Penganjuran SPACE UTM Edu Fair 2025 berlangsung penuh meriah dengan pelbagai pengisian interaktif yang memperkukuh peranan Universiti Teknologi Malaysia melalui UTMSPACE dalam menjadikan pendidikan fleksibel lebih inklusif dan berdaya saing.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. En. Mohd Razlan bin Mohamed, Pengerusi Lembaga Pengarah UTMSPACE, dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Dewan Banquet, Residensi UTM, Kuala Lumpur.
Turut hadir memeriahkan acara ialah YBrs. Prof. Dr. Nazri bin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan UTMSPACE; YBrs. Prof. Dr. Mohd Shahrizal bin Sunar, Dekan SPACE UTM; barisan pengurusan UTMSPACE, serta warga kerja SPACE UTM.
SPACE Edu Fair 2025 menampilkan pelbagai pameran pendidikan, taklimat akademik, kaunseling pendidikan serta ruang interaksi bersama pakar-pakar industri dan wakil fakulti. Antara yang paling mencuri tumpuan adalah gimik pelancaran dan pengenalan program-program baharu oleh Pusat A-TVET UTM, sebagai inisiatif memperkasakan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang lebih moden, fleksibel, dan berorientasikan industri.
Dalam ucapan perasmiannya, En. Mohd Razlan menyatakan penghargaan terhadap usaha berterusan UTMSPACE dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada pelbagai lapisan masyarakat. Beliau turut menekankan kepentingan inovasi dalam penyampaian program pendidikan, khususnya dalam bidang teknikal dan vokasional yang menjadi keperluan utama negara masa kini.
“Melalui pelancaran program A-TVET ini, UTMSPACE menunjukkan komitmen tinggi dalam mengarusperdanakan TVET sebagai pilihan utama dan setaraf dengan laluan akademik tradisional,” katanya.
Sementara itu, gimik pelancaran oleh Pusat A-TVET turut memperkenalkan beberapa program jangka pendek dan pensijilan profesional yang dirangka selari dengan kehendak industri, antaranya dalam bidang automasi, teknologi maklumat, kejuruteraan dan penyelenggaraan, serta bidang kemahiran digital.
SPACE Edu Fair ini dijangka menjadi pemangkin kepada kesedaran masyarakat terhadap pelbagai pilihan pembelajaran yang tersedia di bawah UTMSPACE, sejajar dengan aspirasi negara ke arah pembinaan masyarakat berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.