25 April 2025
UTM TechnoXplorer 2025 Kembali dengan Impak Lebih Besar di Daerah Manjung
Program UTM TechnoXplorer 2025 kembali dengan lebih bersemangat, menyasarkan pelajar Tingkatan 4 dari sekitar Daerah Manjung untuk menyemai minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Pelbagai aktiviti interaktif dan pendedahan kepada teknologi terkini telah disusun bagi mencetus inspirasi generasi muda.
Program anjuran Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama UTMSPACE Berhad ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Profesor Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor UTM; YDH Toh Seri Bijaya Leftenan Kolonel Dato’ Shaharudin bin Hj. Nazari; dan YBrs. Prof. Dr. Nazri bin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan UTMSPACE.
Antara pengisian utama termasuklah pengenalan kepada konsep STEM, teknologi dron, asas kecerdasan buatan (AI), serta pameran inovasi hasil penyelidikan oleh warga UTM bertujuan menyemarakkan semangat eksplorasi teknologi dalam kalangan pelajar.