22 Oktober 2025 – 22 Oktober 2025 | Johor Bahru – Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) UTMSPACE telah mengadakan kunjungan ziarah ke atas salah seorang pelajar program separuh masa, Saudara Haziq bin Hasdi, di kediamannya. Pelajar tersebut kini masih menjalani rawatan susulan akibat masalah radang pankreas. Lawatan ini adalah sebagai tanda keprihatian pihak UTMSPACE terhadap kebajikan pelajar serta bagi memberikan sokongan moral kepada beliau yang sedang diuji dengan masalah kesihatan.
Deligasi lawatan ini diketuai oleh Puan Suhali binti Mazlan Huzairi,Pengurus Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni UTMSPACE yang meluangkan masa beramah mesra dengan pelajar dan ahli keluarga. Beliau juga turut menyampaikan kata-kata semangat kepada pelajar agar terus tabah dalam menghadapi ujuan kesihatan ini.
Dalam kunjungan ini juga, BHEPA turut menyampaikan sedikit sumbangan bantuan kebajikan Tabung Endowmen UTMSPACE sebagai tanda prihatin dan dorongan kepada pelajar berkenaan. Sumbangan ini diharapkan dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban yang ditanggung oleh pelajar serta memberi dorongan untuk kembali pulih dan meneruskan pengajian dengan semangat baharu.
Pihak UTMSPACE turut mendoakan agar pelajar diberikan kesembuhan yang segera, kekuatan semangat, dan dipermudahkan segala urusan.

