Johor Bahru, 26 Mei 2025 – Sebagai langkah prihatin terhadap kebajikan pelajar, pihak UTMSPACE telah mengadakan satu lawatan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi menziarahi seorang pelajar Ijazah Separuh Masa yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Lawatan yang berlangsung pada 26 Mei itu diketuai En Abdul Rashid Bin Zailan oleh Eksekutif Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA), bersama Prof. Madya Dr. Kamaludin Bin Mohamad Yusof, Pengurus Besar Pusat Pengajian Separuh Masa (PPSM)dan Dr. Mohd Adzhar Bin Abdul Razak Pengurusa Akademik Program Luar (PAPL) Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE). Tujuan utama lawatan adalah untuk menyampaikan sokongan moral kepada saudara Haziq bin Hasdi, pelajar separuh masa yang kini sedang menjalani rawatan akibat penyakit keradangan pankreas.
Difahamkan, saudara Haziq telah dimasukkan ke ICU sejak 17 Mei 2025, dan pihak UTMSPACE mengambil inisiatif untuk hadir sendiri bagi menyatakan sokongan serta memberi bantuan sewajarnya kepada beliau dan keluarga.
Sebagai sebahagian daripada komitmen kebajikan, pihak BHEPA turut menyerahkan borang tuntutan insurans kepada ibu pelajar, bagi memudahkan urusan tuntutan dan mengurangkan beban kewangan keluarga sepanjang tempoh rawatan.
UTMSPACE sentiasa komited dalam menjaga kebajikan pelajar serta akan terus memberikan sokongan dalam apa jua keadaan yang dihadapi oleh warganya. Langkah ini selaras dengan nilai-nilai murni yang diterapkan dalam budaya kerja UTMSPACE, di samping memperkukuh hubungan antara institusi dan pelajar.