+607 531 8000 (JB) | +603 2728 6500 (KL) space@utm.my

UTM Lahirkan kohort Pertama Graduan Negara

OCT 09, 2023 by ADMIN in MEDIA CENTRE

Kurdistan, 7 Okt. – UTM menempa sejarah dengan buat kali pertama berjaya melahirkan graduan luar kampus di Luar negara seramai 74 orang di Qaiwan International University (QIU) di Kurdistan, Iraq pada hari ini.
Graduan kohort pertama graduan luar kampus UTM ini merupakan hasil kerjasama antara QIU dengan UTM melalui SPACE UTM.

Menurut Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, program ini merupakan inisiatif UTM melalui program Pendidikan Transnasional (TNE) yang mula digerakkan lima tahun lalu. Majlis ini turut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Wilayah Kurdistan, His Right Honorable Mr Qubad Talabani, Menteri Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Wilayah Kurdistan, Dr. Aram Mohammad Qadir, dan Pengerusi Lembaga Pengarah dan Pengasas QIU, Shikh Fakhir Shiekh Tayeb,

Tambahnya daripada jumlah ini seramai 49 graduan adalah daripada program Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian. Seramai 10 graduan daripada program Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia) dengan Kepujian, 8 graduan daripada program Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian dan Keselamatan Komputer) dengan Kepujian dan seramai 7 orang graduan daripada program Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi) Dengan Kepujian.

Penyampaian ijazah ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM dan bagi pihak QIU diwakili oleh Dr Ismail Abdul Rahman, Presiden QIU.

Menurut Prof. Ahmad Fauzi, UTM sangat berbesar hati dengan adanya kerjasama bersama QIU. Ini merupakan salah satu pencapaian yang amat membanggakan Universiti dan negara kerana ternyata program francais UTM adalah yang pertama seumpamanya ditawarkan di Timur Tengah. Beliau juga memaklumkan QIU juga telah memaklumkan seramai lebih 71 peratus graduan mereka telah mendapat pekerjaan. Sebahagian mereka juga akan melanjutkan pengajian di UTM.

Ketika ucapannya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi turut mengumumkan untuk menaja tiga orang graduan QIU melalui program ini untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di UTM dengan anggaran USD18,000. Tajaan berbentuk biasiswa ini merupakan satu galakan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi. Ia juga merupakan suatu penghargaan UTM terhadap kerjasama ini.

Beliau percaya dengan kewujudan kampus tersebut, lebih banyak program-program UTM mampu ditawarkan kepada rakyat Iraq khususnya dalam melahirkan tenaga kerja profesional melalui QIU bagi memenuhi keperluan serantau,” kata beliau. Pelbagai kerjasama baharu akan diterokai termasuk pembangunan profesional, penyelidikan, perundingan dan inisiatif lain yang signifikan untuk manfaat kedua belah pihak.

“Impak kepada inisiatif UTM mewujudkan program francais luar negara juga ini adalah seiringan dengan kerangka Ekonomi MADANI: Pendidikan Tinggi khususnya bagi elemen pengantarabangsaan seperti mana dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri”, tambah beliau lagi.

Majlis Konvokesyen sulung QIU-UTM ini menyaksikan tiga orang graduan cemerlang telah menerima Anugerah Dekan, iaitu Reza Kamil Abdul Karim yang merupakan graduan Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia) dengan Kepujian, Sima Jazaa Mohammed, graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian, dan Diana Hiwa Raouf Rahem graduan Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi) dengan Kepujian Uniknya penubuhan Qaiwan International University (QIU) merupakan inisiatif daripada dua orang alumni UTM, iaitu Dr.Harith R.Hasan dan Dr. Ahmed Abdullah yang ditubuhkan pada tahun 2017. Dr. Ahmed kini merupakan Timbalan President (Akademik), QIU.

Berdasarkan kepada pengalaman belajar di UTM dan kualiti pendidikan yang diterima, dua alumni ini bersama Kumpulan Qaiwan menubuhkan QIU dan berhasrat untuk menawarkan program akademik UTM secara francais di Sulaimaniyah, Kurdistan.

Pada bulan Ogos 2018, kampus sementara QIU di Sulaimaniyah, Kurdistan, Iraq telah dibuka secara rasminya oleh His Right Honorable Mr Qubad Talabani.

Turut hadir menyaksikan Majlis Konvokesyen ini ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Pendaftar UTM, Puan Nor Azizah Ismail, dan Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan UTMSPACE, Pengerusi SPACE UTM Prof. Ts. Dr. Nazri bin Ali, dan Dekan-Dekan fakulti yang terlibat.