JOHOR BAHRU, 8 Mei 2025 – Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru menerusi kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTMSPACE telah membuka permohonan Bantuan Zakat Sara Diri dan Yuran Pengajian bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda (SSPB, SSPG) dan UTM-IDP untuk Semester II Sesi 2024/2025.
Permohonan telah dibuka bermula 7 hingga 13 April 2024 dan dilaksanakan melalui borang dalam talian (Google Form) yang disediakan oleh pihak UTMSPACE. Hebahan permohonan turut dibuat melalui Portal UTMSPACE, Portal SPACE UTM dan Portal Pelajar, mengikut program pengajian masing-masing.
Daripada keseluruhan 11 permohonan yang diterima, seramai tujuh (7) pelajar telah disahkan memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Pusat Islam UTM Johor Bahru. Manakala dua (2) lagi pelajar telah mendapat sokongan daripada Jawatankuasa Bantuan Kewangan dan Kebajikan Pelajar UTMSPACE dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 7 Mei 2025.
Secara keseluruhan, sembilan (9) nama pelajar telah dikemukakan kepada pihak Pusat Islam UTM Johor Bahru untuk pertimbangan selanjutnya bagi menerima bantuan zakat pada tahun ini.
Pemberian bantuan ini diharap dapat meringankan beban kewangan pelajar yang memerlukan serta memberi sokongan moral dan motivasi untuk mereka meneruskan pengajian dengan lebih cemerlang.