☎ +607 531 8000 (JB) | ☎ +603 2728 6500 (KL) | ✉ space@utm.my

☎ +607 531 8000 (JB) | ☎ +603 2728 6500 (KL) | ✉ space@utm.my

Kuala Lumpur, 13 Oktober 2026 — Komitmen SPACE UTM dalam memperkukuh agenda kelestarian kampus terus dizahirkan melalui penganjuran Gotong-Royong & Trash to Cash anjuran Jawatankuasa Kelestarian SPACE UTM dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) UTMSPACE Kuala Lumpur yang telah berlangsung dengan jayanya di hadapan Blok H3, UTM Kuala Lumpur. Program yang melibatkan penyertaan aktif staf dan komuniti kampus ini menjadi manifestasi jelas usaha berterusan SPACE UTM dalam membudayakan amalan lestari berteraskan pengurusan sisa berkesan, kebersihan persekitaran dan memupuk semangat kerjasama di kalangan staf. Antara aktiviti yang dijalankan ialah gotong-royong membersihkan pejabat, kaunter ‘Trash to Cash’ bersama SWCorp dan agihan makanan percuma.

Dari sudut impak alam sekitar, program ini telah berjaya mengurangkan jumlah sisa yang berakhir di tapak pelupusan melalui aktiviti pengasingan dan kutipan barangan kitar semula. Sepanjang program, pelbagai kategori bahan berjaya dikumpulkan termasuk kertas (685.25 kg), plastik (26.5 kg), tin (3.8 kg), minyak masak terpakai (76.25 kg ) serta sisa elektronik (2 kg). Keseluruhan kutipan barangan kitar semula ini telah menjana pulangan kewangan melalui hasil jualan kitar semula sebanyak RM436.80, selaras dengan konsep Trash to Cash yang diketengahkan. Pendekatan ini secara langsung menyokong SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, di samping menyumbang kepada SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan serta SDG 13: Tindakan Terhadap Iklim melalui pengurangan pelepasan karbon tidak langsung.

Dari perspektif ESG, penglibatan SWCorp mencerminkan tadbir urus kolaboratif (governance) antara institusi akademik dan agensi kerajaan, manakala penyertaan aktif warga kampus mengukuhkan dimensi alam sekitar dan sosial yang juga menyokong SDG 17: Kerjasama demi Matlamat. Selain itu, melalui aktiviti agihan makanan percuma secara tidak langsung dapat meningkatkan penglibatan staf dan juga menyokong SDG 2: Kelaparan Sifar.

Secara keseluruhannya, Program Gotong-Royong & Trash to Cash ini membuktikan bahawa inisiatif berasaskan komuniti kampus mampu memberi impak nyata kepada alam sekitar, di samping membentuk minda dan tingkah laku lestari. Kejayaan program ini mengukuhkan komitmen SPACE UTM untuk terus menerajui agenda kelestarian, selaras dengan aspirasi UTM dalam memperkasa aspek kelestarian kampus.

UTM Open Day