Johor Bahru, 12 Mac 2026 – Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan, SPACE UTM, telah menganjurkan Majlis Aluan Pelajar bagi menyambut kehadiran 74 orang pelajar baharu yang mendaftar dalam Program Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa bagi Semester 2, Sesi Akademik 2025/2026. Majlis ini telah dilaksanakan secara dalam talian pada 12 Mac 2026 sebagai platform awal pengenalan kepada persekitaran pembelajaran di universiti.
Majlis ini telah disempurnakan dengan ucapan alu-aluan oleh Prof. Dr. Mohd Shahrizal bin Sunar, Dekan SPACE UTM, yang menzahirkan penghargaan serta harapan agar para pelajar baharu dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang pembelajaran sepanjang tempoh pengajian mereka.
Selain itu, sesi taklimat yang komprehensif dan tersusun turut disampaikan oleh wakil-wakil pusat serta jabatan berkaitan, merangkumi aspek akademik, sokongan pelajar dan pengurusan pengajian. Taklimat ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal serta panduan yang jelas dalam membantu pelajar menyesuaikan diri dengan keperluan akademik dan kehidupan kampus secara holistik. SPACE UTM dengan penuh bangga mengucapkan “Selamat Datang” kepada semua pelajar baharu dan komited untuk terus menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif, inovatif dan berdaya saing. Adalah diharapkan agar para pelajar dapat mencapai kecemerlangan akademik serta membina potensi diri secara menyeluruh sepanjang tempoh pengajian di universiti ini.

