KELANTAN, 12 Oktober 2025 – Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE UTM) turut berkerjasama bersama Pusat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) dalam menganjurkan Program STEM@KELATE 2025 (Kreativiti, Eksperimen, Literasi, Aspirasi, Teknologi dan Eksplorasi) sebagai satu inisiatif strategik dalam memperkukuh minat, motivasi dan penguasaan murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Program yang berlangsung dari 12 hingga 14 Oktober 2025, bermula 7.00 pagi hingga 11.00 malam, telah dilaksanakan di beberapa buah sekolah terpilih di negeri Kelantan iaitu Sekolah Kebangsaan Kuala Geris Dabong, Sekolah Kebangsaan Seneng, Sekolah Kebangsaan Bukit Marak serta Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Saadong. Pelaksanaan program ini melibatkan pendekatan pembelajaran secara holistik yang menggabungkan elemen kreativiti, eksperimen, literasi, aspirasi, teknologi dan eksplorasi.
Sepanjang program berlangsung, para murid telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif yang dirangka bagi meningkatkan kefahaman dan penglibatan aktif. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk ceramah berkaitan kelestarian, pengisian bertemakan komuniti sejahtera, serta aktiviti STEM yang menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman. Pendekatan ini dilihat mampu memupuk pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dalam kalangan murid di samping memberi pendedahan kepada aplikasi STEM dalam kehidupan seharian.
Penganjuran program ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur, serta SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat. Komitmen ini mencerminkan usaha UTM dalam memperkasa pendidikan STEM yang inklusif, di samping memupuk budaya inovasi serta memperkukuh kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi dan pihak sekolah.
Secara keseluruhannya, Program STEM@KELATE 2025 dijangka memberi impak positif dalam meningkatkan minat dan keyakinan murid terhadap bidang STEM, di samping menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi. Usaha ini selaras dengan agenda kelestarian universiti serta aspirasi pembangunan negara ke arah masa depan yang lebih mampan.




