+607 531 8000 (JB) | +603 2728 6500 (KL) | space@utm.my

+607 531 8000 (JB) | +603 2728 6500 (KL) | space@utm.my

SRM ECO KOMUNITI @ SG BUNUS

Kuala Lumpur, 4 Oktober 2025 – SRM ECO KOMUNITI @ SG BUNUS

Sekretariat Rakan Muda (SRM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dengan sokongan Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE UTM) serta Yayasan Wilayah Persekutuan telah berjaya menganjurkan program SRM ECO KOMUNITI @ SG BUNUS yang berlangsung di Kebun Bandar Sungai Bunus, Kuala Lumpur. Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, YBrs. Dr. Abdul Basir V. Kunhimohamed. Turut hadir memeriahkan program ialah Tuan Haji Ahmad Shamsul Baharin Mohd Hanafiah, Penasihat Kebun Bandar Sungai Bunus; Muhammad Harraz Shamsaidi, Presiden Sekretariat Rakan Muda UTM Kuala Lumpur; serta Ts. Dr. Salina binti Sadeli, Pengurus Kelestarian UTMSPACE Kuala Lumpur.

Program ini telah melibatkan lebih daripada 80 orang peserta yang terdiri daripada warga UTMSPACE, ahli Sekretariat Rakan Muda UTM Kuala Lumpur serta komuniti Kebun Bandar Sungai Bunus. Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar di samping memupuk amalan kelestarian dalam kalangan pelajar dan masyarakat. Program ini juga berperanan sebagai platform untuk mengukuhkan hubungan kerjasama antara universiti dan komuniti setempat melalui penglibatan dalam aktiviti berasaskan komuniti.Antara pengisian utama program ialah aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kebun, penanaman pokok serta usaha menceriakan persekitaran Kebun Bandar Sungai Bunus. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menyumbang kepada pemeliharaan keseimbangan ekosistem bandar, malah turut memupuk semangat kesukarelawanan dan kerjasama antara peserta.  Melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti ini, para peserta berpeluang menghayati kepentingan menjaga alam sekitar serta memahami peranan masyarakat dalam memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.

Selain itu, program ini turut menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG) seperti Kelaparan Sifar (SDG2), Kesihatan dan Kesejahteraan (SDG3), Bandar dan Komuniti Lestari (SDG11) serta Tindakan Terhadap Perubahan Iklim (SDG13). Usaha ini sejajar dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh agenda pembangunan lestari serta memupuk kesedaran dalam kalangan generasi muda mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar.

Secara keseluruhannya, program SRM ECO KOMUNITI @ SG BUNUS bukan sekadar aktiviti gotong-royong, tetapi merupakan satu inisiatif yang menggabungkan warga universiti dan komuniti bandar dalam usaha memperkukuh nilai kelestarian, tanggungjawab sosial serta semangat perpaduan. Program ini juga mencerminkan komitmen UTM Kuala Lumpur dalam memperkasa penglibatan komuniti serta mempromosikan budaya hijau demi kesejahteraan bersama.

UTM Open Day