Majlis Konvokesyen Certified Financial Investigator Program (CFIP) Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 4 Mei 2025 di Menara Seri Wilayah, Putrajaya, bagi meraikan para graduan yang berjaya menamatkan pensijilan profesional dalam bidang penyiasatan jenayah kewangan.
Program ini merupakan satu inisiatif strategik dalam melahirkan pegawai penyiasat yang kompeten, berkemahiran tinggi serta berupaya menangani jenayah kewangan yang semakin kompleks, termasuk pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan penipuan kewangan. Para graduan terdiri daripada pelbagai agensi berkaitan seperti pegawai penguat kuasa undang-undang, penganalisis perisikan kewangan serta penyiasat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Usaha ini selari dengan agenda nasional dalam memperkukuh integriti serta keselamatan sistem kewangan negara, di samping mempertingkatkan kerjasama rentas agensi.
Majlis ini merupakan antara platform utama negara dalam memperkasa profesional penyiasatan jenayah kewangan melalui pendekatan bersepadu antara agensi dan institusi akademik.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, serta Dato’ Sri Shamshun Baharin bin Mohd Jamil, Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), yang memainkan peranan penting sebagai penyelaras utama dalam membanteras jenayah kewangan secara bersepadu di peringkat nasional.
Selain itu, majlis ini turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan NFCC sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kerjasama akademik dan profesional, khususnya dalam pembangunan kepakaran serta latihan berkaitan penyiasatan jenayah kewangan. MoA tersebut telah ditandatangani oleh Dato’ Sri Shamshun Baharin bin Mohd Jamil bagi pihak NFCC dan Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah binti Mat Darus selaku Timbalan Naib Canselor (Akademik) mewakili pihak universiti. Turut hadir mewakili UTM ialah Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, Dekan Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE), serta Prof. Dr. Anazida Zainal, Profesor Fakulti Komputeran.
Kerjasama strategik antara NFCC dan UTM ini juga membuka ruang ke arah pengiktirafan dan pengakreditasian program ini di peringkat antarabangsa, selain memastikan kandungan pembelajaran sentiasa relevan, terkini dan selari dengan keperluan industri serta standard global. Inisiatif ini juga selari dengan evolusi CFIP yang terus diperkasa melalui kolaborasi antara agensi dan institusi akademik bagi memastikan keberkesanan latihan penyiasatan kewangan negara.
Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkasa keupayaan modal insan negara, di samping memperkukuh jaringan kolaborasi antara agensi penguatkuasaan dan institusi pendidikan tinggi dalam memerangi jenayah kewangan.
Tahniah diucapkan kepada semua graduan CFIP 2025 atas pencapaian yang membanggakan, serta penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis ini dengan cemerlang.



















