JOHOR BAHRU, 21 JUN 2026 – Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Majlis Aluan Pelajar Baharu Program Diploma Separuh Masa bagi Semester 1, Sesi Akademik 2026/2027 secara dalam talian. Penganjuran majlis ini bertujuan untuk meraikan kemasukan pelajar baharu di samping memberikan pendedahan awal mengenai sistem pengajian, persekitaran pembelajaran serta kemudahan dan perkhidmatan sokongan yang disediakan oleh SPACE UTM.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBrs. Prof. Dr. Mohd Sharizal bin Sunar, Dekan SPACE UTM, yang mengalu-alukan kehadiran para pelajar baharu serta menyampaikan kata-kata motivasi dan dorongan untuk memulakan perjalanan akademik dengan penuh keyakinan, keazaman dan komitmen yang tinggi. Beliau turut menekankan kepentingan disiplin, ketekunan dan semangat pembelajaran sepanjang hayat dalam menghadapi cabaran pengajian, khususnya bagi pelajar separuh masa yang perlu mengimbangi komitmen akademik dengan tanggungjawab kerjaya dan kehidupan seharian.
Majlis diteruskan dengan sesi Taklimat Akademik yang disampaikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Kamaludin bin Mohamad Yusof, Pengurus Besar Pusat Pengajian Separuh Masa. Taklimat tersebut memberikan penerangan menyeluruh mengenai struktur program pengajian, kaedah pelaksanaan pembelajaran yang fleksibel, pengurusan akademik serta kemudahan dan perkhidmatan sokongan yang disediakan. Penerangan ini bertujuan membantu pelajar memahami keperluan pengajian dan merancang perjalanan akademik dengan lebih sistematik serta berkesan.
Selain itu, sesi taklimat turut disampaikan oleh wakil pusat dan bahagian berkaitan yang merangkumi pelbagai aspek penting, antaranya perkhidmatan pelajar, kemudahan pembelajaran, sokongan akademik dan hal ehwal kebajikan. Pengisian ini menjadi platform bagi membekalkan maklumat dan panduan yang diperlukan untuk membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan ekosistem pembelajaran SPACE UTM serta memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang ditawarkan.
Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan SPACE UTM dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi yang berkualiti, fleksibel dan inklusif, selaras dengan aspirasi pembelajaran sepanjang hayat. Melalui penawaran program pengajian separuh masa, SPACE UTM terus memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang peningkatan ilmu pengetahuan, pembangunan kompetensi dan pengukuhan kemahiran profesional kepada masyarakat, khususnya golongan bekerja yang berhasrat meningkatkan kelayakan akademik.
SPACE UTM merakamkan ucapan selamat datang dan selamat maju jaya kepada seluruh pelajar baharu Program Diploma Separuh Masa bagi Sesi Akademik 2026/2027. Semoga perjalanan pengajian yang ditempuhi menjadi pengalaman bermakna dalam memperkasa potensi diri, meningkatkan daya saing serta membuka peluang ke arah kecemerlangan akademik, kemajuan kerjaya dan kejayaan pada masa hadapan.

