Johor Bahru, 8 Mac 2026 – Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan , SPACE UTM, telah menganjurkan Majlis Aluan Pelajar bagi menyambut kehadiran pelajar-pelajar baharu yang mendaftar dalam Program Ijazah Sarjana Muda Separuh Masa bagi Semester 2, Sesi Akademik 2025/2026.
Majlis yang berlangsung secara dalam talian ini merupakan platform awal bagi memperkenalkan para pelajar kepada ekosistem pembelajaran di UTM, khususnya dalam konteks pengajian separuh masa yang menuntut keseimbangan antara komitmen kerjaya dan akademik. Majlis ini telah disempurnakan dengan ucapan alu-aluan oleh Prof. Dr. Mohd Shahrizal bin Sunar, Dekan SPACE UTM, yang menzahirkan penghargaan atas kepercayaan pelajar memilih UTM sebagai destinasi pendidikan serta menggalakkan mereka untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
Sepanjang majlis, sesi taklimat komprehensif telah disampaikan oleh wakil-wakil pusat dan jabatan berkaitan, merangkumi aspek penting seperti peraturan akademik, pembiayaan pendidikan melalui PTPTN, perlindungan takaful, perkhidmatan ICT, pengurusan kewangan serta hal ehwal akademik. Sesi-sesi ini bertujuan memberikan panduan yang jelas dan menyeluruh bagi membantu pelajar menyesuaikan diri dengan keperluan pengajian serta persekitaran pembelajaran secara lebih efektif.
SPACE UTM dengan penuh bangga mengucapkan “Selamat Datang” kepada semua pelajar baharu dan komited untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang fleksibel, kondusif dan berkualiti tinggi. Adalah diharapkan agar para pelajar dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan serta mencapai kejayaan cemerlang sepanjang tempoh pengajian mereka.

