5 Jun 2026, Jawatankuasa Kelestarian SPACE UTM telah menganjurkan Program Brisk Walk dan Plogging sempena Minggu Biodiversiti UTM. Program ini telah dilaksanakan secara serentak di dua lokasi, iaitu kampus Johor Bahru (JB) dan Kuala Lumpur (KL) bermula jam 8 pagi sehinga 10 pagi yang melibatkan staf akademik dan pentadbiran.
Di Johor Bahru, aktiviti telah dijalankan di sekitar kawasan Blok T05 dan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, T04 melibatkan seramai 48 orang peserta sementara di Kuala Lumpur, telah dilaksanakan di sekitar kawasan kampus KL dan Sungai Bunus dengan penyertaan seramai 31 orang peserta. Hasil daripada aktiviti plogging tersebut, sebanyak 49.71 kilogram sampah telah berjaya dikumpulkan, sekali gus menunjukkan komitmen peserta dalam menjaga kebersihan dan kelestarian persekitaran kampus.
Program ini turut dihadiri oleh Green Manager SPACE UTM, Ts. Dr Salina binti Sadeli di Kuala Lumpur dan En Idham bin Mian di kampus Johor Bahru. Antara tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti brisk walk, jogging dan mengutip sampah, di samping memupuk kesedaran warga UTM terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran dan kelestarian biodiversiti. Penganjuran program ini mencerminkan komitmen staf SPACE UTM dalam menyokong agenda kelestarian universiti serta memperkukuh budaya prihatin terhadap alam sekitar dalam kalangan warga kampus.
Selain itu, Program yang dianjurkan oleh SPACE UTM ini menyokong secara langsung Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) atau SDG yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Antara SDG yang terlibat adalah SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik (Good Health and Well-being), SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan (Sustainable Cities and Communities), SDG 15: Kehidupan di Darat (Life on Land) dan SDG 14: Kehidupan di Bawah Air (Life Below Water).
Bersama kita menjayakan agenda kelestarian Kampus!







