☎ +607 531 8000 (JB) | ☎ +603 2728 6500 (KL) | ✉ space@utm.my

☎ +607 531 8000 (JB) | ☎ +603 2728 6500 (KL) | ✉ space@utm.my

JOHOR BAHRU, 13 OKTOBER 2026 – Satu sesi pertemuan antara Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Pengurusan Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE) UTM telah diadakan di Bilik Mesyuarat, Bangunan T06, UTMSPACE, bagi membincangkan persiapan dan penyelarasan pelaksanaan Pilihan Raya Mahasiswa UTM 2026 yang dijadualkan berlangsung pada November 2026.

Pertemuan ini bertujuan memberikan penerangan menyeluruh kepada pihak pengurusan SPACE UTM mengenai tatacara dan proses pelaksanaan pilihan raya mahasiswa, di samping membincangkan penglibatan serta perwakilan pelajar SPACE UTM dalam struktur kepimpinan mahasiswa universiti. Dalam sesi tersebut, pihak JPMPP memaklumkan bahawa SPACE UTM telah diperuntukkan sebanyak tiga kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), merangkumi dua kerusi bagi SPACE Kuala Lumpur dan satu kerusi bagi SPACE Johor Bahru.

Selain membincangkan aspek pelaksanaan pilihan raya, pihak JPMPP turut menyampaikan aspirasi dan penekanan pengurusan UTM terhadap kepentingan memperkukuh peranan MPP sebagai saluran komunikasi dan penghubung antara mahasiswa dengan pihak universiti. MPP berperanan sebagai platform untuk menyuarakan pandangan dan aspirasi pelajar, memperjuangkan kebajikan mahasiswa serta menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan sahsiah, kepimpinan dan kesejahteraan pelajar secara holistik.

Sesi perbincangan ini telah dihadiri oleh Ts. Nik Maria bin Nik Mahamod, Timbalan Dekan Pembangunan SPACE UTM, bersama pegawai-pegawai daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni SPACE UTM. Pertemuan tersebut turut menjadi platform penyelarasan dan perkongsian maklumat bagi memastikan penglibatan pelajar SPACE UTM dalam proses pemilihan kepimpinan mahasiswa dapat dilaksanakan secara teratur, telus dan selaras dengan ketetapan universiti.

Berteraskan aspirasi “Memperkasa Suara Mahasiswa, Memacu Aspirasi SPACE UTM”, usaha ini diharapkan dapat memperkukuh budaya kepimpinan mahasiswa yang inklusif, berintegriti dan berwibawa, sekali gus melahirkan barisan pemimpin pelajar yang berupaya menyuarakan aspirasi rakan mahasiswa serta memberikan sumbangan positif kepada universiti, masyarakat dan negara.

UTM Open Day