Bagi menyokong usaha memperkukuh agenda kelestarian di peringkat universiti, satu inisiatif pembangunan infrastruktur ekosistem hijau telah dilaksanakan di kawasan Laman Ilmu, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL). Pelaksanaan inisiatif ini merupakan sebahagian daripada keperluan bagi memenuhi aspek penilaian kelestarian di bawah Green Leaf UTM, yang memberi penekanan kepada pembangunan serta pengurusan ruang hijau di dalam kampus. Pembangunan ini bertujuan menggalakkan penglibatan warga kampus dalam aktiviti berkebun yang dapat menyokong gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal, kesejahteraan mental serta pemakanan sihat hasil daripada tanaman sendiri (SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan). Selain itu, inisiatif ini turut meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan membantu membentuk komuniti kampus yang lebih aktif, inklusif dan mesra alam (SDG 11: Bandar dan Komuniti Lestari).Pelaksanaan projek ini juga menggalakkan amalan lestari seperti pengkomposan sisa organik, kitar semula bahan terbiodegradasi serta pengurangan pembaziran makanan (SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab).
Melalui pelaksanaan inisiatif ini, warga universiti juga didedahkan kepada kepentingan ruang hijau sebagai elemen penting dalam memastikan keseimbangan ekosistem serta kelestarian alam sekitar. Pembangunan ruang hijau ini bukan sahaja berfungsi sebagai elemen landskap yang menceriakan persekitaran kampus, malah turut membantu mengurangkan kesan haba bandar dan menyokong proses penyerapan karbon.Bagi memastikan kelangsungan dan penyelenggaraan kawasan hijau ini, jadual bertugas bagi penjagaan dan pemantauan kawasan telah disediakan, sekali gus menggalakkan penglibatan aktif warga universiti dalam usaha memelihara persekitaran kampus yang bersih, hijau dan lestari.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan pembangunan infrastruktur ekosistem hijau ini mencerminkan komitmen UTM Kuala Lumpur dalam memperkukuh agenda kelestarian kampus selaras dengan Pelan Induk Hijau UTM (Green Leaf UTM)serta aspirasi universiti untuk menjadi kampus yang lebih mampan dan mesra alam. Pada masa yang sama, aktiviti berkebun dan penghijauan kawasan kampus dapat menyumbang kepada pengurangan jejak karbon serta menggalakkan gaya hidup rendah karbon dalam kalangan warga universiti (SDG 13: Tindakan Terhadap Perubahan Iklim). Di samping itu, pembangunan ekosistem hijau ini turut menyokong usaha pemeliharaan biodiversiti, meningkatkan kesuburan tanah serta membantu melindungi ekosistem daratan (SDG 15: Kehidupan di Darat). Aktiviti berkebun yang dilaksanakan juga berpotensi meningkatkan keselamatan makanan melalui penghasilan sayur-sayuran dan buah-buahan segar secara pertanian bandar atau komuniti (SDG 2: Kelaparan Sifar).










