TANJONG KARANG, 31 Oktober 2026 – Komitmen Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam memperkasa agenda kelestarian terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Komuniti Lestari @ Tanjong Karang 2026 yang berlangsung selama dua hari, pada 30 hingga 31 Oktober 2026, bertempat di Kampung Sungai Kajang, Tanjong Karang, Selangor.
Program anjuran bersama Jawatankuasa Kelestarian SPACE UTM dan Sekretariat Rakan Muda UTM Kuala Lumpur (UTMKL) ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Kajang, Jawatankuasa Surau Nurhidayah serta Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Desa. Penganjuran program ini berjaya menghimpunkan seramai 211 peserta, terdiri daripada 20 orang staf dan 21 orang pelajar SPACE UTM, 70 orang murid dan guru sekolah serta 100 orang anggota komuniti setempat.
Turut hadir memeriahkan program ialah Prof. Madya Dr. Kamaludin bin Mohamad Yusof, Dekan SPACE UTM; Ts. Nik Maria binti Nik Mahamood, yang menjalankan tugas Timbalan Dekan (Pembangunan) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian SPACE UTM; Encik Mohd Saifful bin Abu Kair, Tok Penghulu Mukim Tanjong Karang 1 serta Encik Hasim bin Ismail, Pengerusi JPKK Kampung Sungai Kajang.
Menurut Pengarah Program, Ts. Dr. Salina binti Sadeli, yang juga Pengurus Kelestarian SPACE UTM, penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan membudayakan amalan kelestarian dalam kalangan pelajar serta masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti berimpak tinggi yang berteraskan pendidikan dan tindakan komuniti. Program ini turut memberi penekanan kepada pemerkasaan penglibatan pelajar dalam aktiviti kesukarelawanan dan perkongsian ilmu bagi membentuk kemahiran kepimpinan, komunikasi serta sosial. Pada masa yang sama, inisiatif ini menjadi platform untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara universiti, komuniti dan industri dalam menyokong pembangunan komuniti yang inklusif dan mampan, selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Sepanjang dua hari penganjuran, sebanyak 10 aktiviti utama telah dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar Kampung Sungai Kajang. Aktiviti tersebut merangkumi Pertandingan Diorama Inovasi STEM Hijau, demonstrasi fasiliti hidroponik berkuasa solar terintegrasi sebagai model pembelajaran kelestarian komuniti, Bengkel AI: Teknik Pembelajaran, gotong-royong membersihkan surau, aktiviti plogging di kawasan pantai, penanaman 20 anak pokok bakau spesies Rhizophora mucronata di sekitar Pantai Kampung Sungai Kajang, sesi sembang santai bersama komuniti, senamrobik dan sukan rakyat, Ceramah Kelestarian Komuniti serta lawatan ke perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan yang merangkumi perusahaan tapai dan kopi.
Keistimewaan program ini terserlah melalui pendekatan pelaksanaan yang mengintegrasikan kelestarian alam sekitar dengan apresiasi budaya dan warisan tempatan. Pelbagai permainan tradisional seperti boling kelapa, anyaman ketupat, batu seremban dan congkak serta aktiviti kesenian tradisional seperti permainan cempuling turut diketengahkan bagi menggalakkan interaksi dan perkongsian pengalaman antara generasi muda dengan masyarakat setempat. Pendekatan ini memperlihatkan bahawa agenda kelestarian bukan sahaja tertumpu kepada pemeliharaan alam sekitar, malah merangkumi usaha memelihara warisan budaya, memperkukuh identiti komuniti dan mengeratkan hubungan sosial antara generasi.
Antara pengisian yang memberikan nilai tambah kepada program ialah demonstrasi fasiliti hidroponik berkuasa solar terintegrasi yang mengetengahkan aplikasi teknologi hijau dalam pertanian bandar dan pengeluaran makanan mampan. Pengisian ini telah dijayakan oleh Ts. Mohd Hazri bin Ishak dari Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Teknologi Malaysia. Fasiliti ini berfungsi sebagai model pembelajaran secara praktikal bagi memperkenalkan penggunaan tenaga boleh baharu dan teknologi pertanian kepada komuniti. Sebagai kesinambungan kepada usaha pemindahan ilmu dan teknologi universiti, set hidroponik solar tersebut turut disumbangkan kepada pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Desa dan Surau Nurhidayah untuk dimanfaatkan sebagai kemudahan pembelajaran serta aktiviti kelestarian komuniti secara berterusan. Inisiatif ini mencerminkan peranan universiti bukan sahaja sebagai pusat pengembangan ilmu dan inovasi, malah sebagai pemangkin penerapan teknologi mampan dalam kehidupan masyarakat.
Dari perspektif pembangunan mampan, program ini menyumbang kepada 12 daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDGs) melalui pengintegrasian elemen pendidikan, inovasi teknologi hijau, kesejahteraan sosial, pembangunan ekonomi setempat, pemuliharaan biodiversiti dan kerjasama strategik. Dua belas SDG yang disokong ialah SDG 3 – Kesihatan Baik dan Kesejahteraan; SDG 4 – Pendidikan Berkualiti; SDG 7 – Tenaga Bersih dan Mampu Milik; SDG 8 – Pekerjaan yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi; SDG 9 – Industri, Inovasi dan Infrastruktur; SDG 10 – Mengurangkan Ketidaksamaan; SDG 11 – Bandar dan Komuniti Mampan; SDG 12 – Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab; SDG 13 – Tindakan terhadap Perubahan Iklim; SDG 14 – Hidupan di Bawah Air; SDG 15 – Hidupan di Darat; dan SDG 17 – Kerjasama demi Matlamat.
Secara keseluruhannya, Program Komuniti Lestari @ Tanjong Karang 2026 membuktikan bahawa inisiatif kelestarian berasaskan komuniti mampu menghasilkan impak yang bermakna melalui peningkatan kesedaran, perkongsian ilmu, pemindahan teknologi, penglibatan sukarelawan serta tindakan bersama dalam pemeliharaan alam sekitar. Lebih daripada sekadar program kesukarelawanan, inisiatif ini menjadi platform pembelajaran sepanjang hayat yang menghubungkan universiti, pelajar, sekolah, industri dan masyarakat dalam membina komuniti yang berpengetahuan, inklusif dan berdaya tahan. Kejayaan penganjuran ini sekali gus memperkukuh peranan SPACE UTM sebagai pemangkin agenda kelestarian universiti serta menyokong aspirasi UTM dalam menerajui pembangunan mampan di peringkat nasional dan global.
“Bersama Komuniti Menyemai Bakti, Bumi Lestari Warisan Abadi.”






















